Thursday, January 8, 2015

Drama melayu buntu idea?



Buntu idea

Adalah tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan drama melayu dalam industri Malaysia semakin buntu idea. Lihat sahaja drama-drama yang ditayangkan stesen televisyen, kebanyakan kandungan cerita mengisahkan konflik cinta, bisnes Melayu kaya, perkahwinan yang ditentukan keluarga mahupun skandal perkahwinan.

Saya tidak mempunyai masalah dengan drama melayu, namun kandungan cerita yang klise serta babak yang beribu-ribu kali diulang membuatkan saya beralih kepada drama Negara lain yang memberikan kelainan.

Lihat sahaja babak, seorang gadis hamil. Pasti akan ada babak muntah, loya dan pening-pening. Bukan sahaja itu, babak keluarga bergaduh di meja makan juga kerap kali digunakan. Itu belum lagi saya sentuh mengenai babak rogol, putus cinta dan seangkatan dengannya.

Lebih menjengkelkan apabila kebanyakan drama menampilkan babak anak-anak melayu mencari hiburan di kelab malam. Saya tidak nafikan ada juga drama yang berkualiti namun boleh dikira dengan jari.

Novel adaptasi kepada drama

Tatkala drama komedi bersiri Suamiku Encik Sotong yang mengisahkan tentang skandal isteri dengan sepupunya sendiri menjadi perhatian, negara lain lebih kreativiti dengan kandungan cerita.

Ya benar, mengadaptasikan novel kepada drama menjadi trend masa kini dan itu bukan hanya di Malaysia. Drama berteraskan novel yang sedang hangat dan antara yang mendapat sambutan ialah Projek Memikat Suami, Arriana Rose dan terbaru Suamiku Encik Sotong.

Kandungan cerita melayu di Malaysia berbeza sekali dengan negara serantau lain.

Dalam kesibukan industri drama melayu hanya bertumpukan kepada cerita rogol, rempit, golongan maknyah dan sebagainya, drama korea dilihat lebih kehadapan dengan jalan cerita lebih kuat.





Drama Korea unik

Bukan sahaja budaya K-POP dan Running Man berjaya mempengaruhi dan menjadi kegilaan seluruh dunia. Drama Korea kini antara menjadi pilihan anak muda masa kini. Kenapa begitu? Ia mungkin atas faktor jalan cerita yang unik dan berbeza.

Doctor Stranger

 
Drama Korea misalnya menampilkan drama Doctor Stranger dimana konflik dan kisah hidup seorang anak lelaki seorang pakar jantung terkenal yang teraniaya dek politik Korea Selatan dan Utara. Drama yang penuh dengan ilmu perubatan jantung sesungguh memukau penonton.

Walaupun ada babak yang ditampilkan agak tidak logik seperti filem Hindustan namun drama ini berjaya memberikan keunikan dengan animasi perubatan yang diselitkan.
 
Untuk nampak lebih menarik, sudah semestinya watak heroin dan konflik cinta tiga segi diwujudkan. Saya tidak ada masalah dengan elemen cinta dalam setiap drama kerana itu adalah penarik utama dalam sesebuah penceritaan.

Pinocchio

 

Drama Pinocchio juga menarik.  Pinocchio merupakan satu penyakit tersedu sekiranya seseorang itu berbohong. Mengaitkan cerita dengan media di Korea, ia sekaligus menceritakan scenario media di Korea yang tidak mahu mengambil penghidap pinocchio atas alasan tidak sesuai untuk menjadi seorang pemberita.
 
Mesej dalam drama ini menonjolkan bagaimana laporan media yang salah boleh memberikan kesan kepada sesetengah pihak. Disebalik mengejar cita-cita untuk menjadi pemberita dan wartawan, hero drama mempunyai agenda tersendiri iaitu menggunakan peluang sebagai wartawan untuk menyiasat kes kematian bapanya.
 
Pinocchio seperti mana yang kita ketahui merupakan watak kartun dongeng yang hidungnya menjadi panjang setiap kali berbohong. Tetapi Korea mengadaptasikan pinochio dengan kreatif sekali.

Dan disebabkan tidak boleh berbohong, pinocchio tidak diambil bekerja sebagai wartawan atau pemberita kerana bimbang pembohongan beritanya terbongkar.

Bayangkan kalau pemberita tersedu ketika siaran langsung?

Di mana drama melayu kita? 

Maka, dimana kita? Kemana arah filem drama melayu?
 
Drama kebanyakan televisyen tidak habis-habis mahu menunjukkan melayu kaya, makan dirumah guna sudu garfu. Bercinta, meroyan. Skandal. Perkahwinan yang diuruskan keluarga. Adakah kandungan itu yang akan terus ditayangkan dikaca televisyen untuk tontonan penonton?

Kenapa kita hanya tertumpu pada kandungan sebegitu?

Tidak keterlaluan saya katakana, kita masih jauh kebelakang jika dibandingkan negara lain. Ia kerana idea yang cetek dan tidak berfikiran di luar kota sekaligus menjadikan drama melayu sentiasa klise. 

Apa yang perlu dibuat untuk memajukan industri drama melayu? 

Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment

Copyright © Celoteh Beeha Designed by azhafizah.com